Kisah Ashabul Kahfi


فَضَرَبنا عَلىٰ ءآذانِهِم فِي الكَهفِ سِنينَ عَدَدًا

“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun lamanya”

-Surah al-Kahfi ayat 11

Kisah ini terjadi di sebuah negara yang kini bernama Jordan. Negara ini diperintah oleh seorang raja bernama Raja Daqyanus yang memerintah dengan zalim. Di sana juga tinggal 7 orang pemuda yang beriman serta membenci amalan syirik dan kejahilan masyarakat sekelilingnya.

“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”

Surah al-Kahfi : 13

Satu hari, Raja Daqyanus telah memanggil pemuda-pemuda itu ke istana. Dengan marahnya raja itu berkata, “Hei kamu, jika kamu enggan menyembah apa yang beta sembah, kamu akan dibunuh”. Apa yang berlaku kepada 7 pemuda itu kawan-kawan?

Tujuh pemuda larikan diri, bersama anjing bernama Qithmir, masuk ke gua diamkan diri, hanya berserah pada Ilahi…

Di dalam gua itulah, mereka diberi ketenangan oleh Allah SWT. Dengan kuasa Allah, mereka telah ditidurkan dengan nyenyaknya sehingga beratus tahun lamanya.

“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun lamanya”

Surah al-Kahfi : 11

Hari demi hari, bulan berganti bulan, tahun silih berganti…. ditakdirkan Allah tujuh pemuda itu akhirnya dibangunkan dari tidurnya.

Terdengar ketukan di pintu gua, tersedar mereka dari lena, terpinga-pinga dalam gelita, musykil yang terjadi sebenarnya..

Ahhhhh….

Bila cahaya menerangi gua, terpegun melihat suasana, tertanya-tanya sesama mereka, berapa lama mereka terlena…

“Berapa lama kita tertidur?”

“Kita telah tidur selama sehari atau mungkin setengah hari”. Sahut rakan yang lain.  “Emmm… Hanya tuhan sahaja yang tahu berapa lama kita telah tertidur… “ Sahut yang lain pula.

Perut terasa lapar dahaga… Dihantar seseorang pergi ke kota… Dipesan membeli yang halal sahaja… Hindari diri dari syak wasangka…                     

Salah seorang dari pemuda-pemuda itu, telah keluar ke kota untuk membeli makan dengan berbekalkan beberapa keping syiling perak. Sampai di ibu kota dia bingung melihat keadaan kota yang telah berubah. Dia tidak pedulikan hal itu dan terus membeli makanan dari peniaga di situ menggunakan wang perak yang dibawanya.

Peniaga yang menerima wang itu terkejut lantas berkata….

“Ooooo…. kamu telah mencuri harta negara ya?”

Pemuda tadi pun….

Terasa takut terbongkar rahsia… Cuba larikan diri, ditahan penduduk pula…   

Dia telah menceritakan kisah mereka bersembunyi dari raja yang zalim. Berkatalah salah seorang penduduk… “Hai pemuda janganlah kamu takut kepada raja yang zalim itu, raja itu telah mati tiga abad yang lalu. Raja yang memerintah sekarang adalah raja yang beriman kepada Allah sama seperti kamu”.

“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar..”

Surah al-Kahfi : 21

Tidak lama selepas kejadian itu, Allah SWT mematikan mereka selepas memberikan ucapan selamat tinggal kepada raja dan penduduk. Maka tiadalah lagi keraguan dalam hati mereka tentang soal hari kematian dan hari kebangkitan.



Orang yang bijak adalah mereka yang bermuhasabah dirinya sendiri dan beramal untuk kehidupan selepas kematian. (Hadis diriwayatkan oleh Imam Termizi).

Kongsikan halaman ini: